Thursday, September 23, 2010

Mêrah Silu, Melayu Atau Batak?


INSTITUSI RAJA MENGEKALKAN WARISAN MELAYU

Oleh kerana majlis ini diadakan sempena menyambut Hari Keputeraan KDYMM Al-Sultan Kelantan ini, maka saya ingin mengambil kesempatan di sini untuk menyentuh serba sedikit tentang sejarah kesultanan raja-raja Melayu dan kaitannya dengan kepimpinan dan pembangunan umat Melayu-Islam di rantau ini umumnya dan di Tanah Melayu khususnya.

2. Institusi raja Melayu adalah institusi yang telah berumur cukup panjang dalam sejarah kerajaan dan kepimpinan Melayu di rantau ini. Institusi kerajaan Melayu mulai membentuk sistem pemerintahan yang jelas dan teratur setelah Islam datang ke rantau ini. Menurut kajian beberapa orang ahli sejarah, Islam telah diperkenalkan di rantau ini sejak abad ke-9, iaitu di Perlak, di utara Sumatera. Apabila Marco Polo singgah di Perlak dalam tahun 1292, dia melaporkan bahawa sebahagian besar kawasan di sekitar Perlak, di pantai utara Sumatera, sudah memeluk agama Islam. Dalam Sulalat Al-Salatin atau ‘Sejarah Melayu’ karangan Tun Sri Lanang (yang siap dikarang dalam tahun 1612), diceritakan bahawa Mêrah Silu atau Marah Silau, ‘pengetua’ negeri yang bernama Pasai, telah memeluk agama Islam. Beliau di-Islamkan oleh seorang syeikh yang datang dari negeri Arab, dan menjadi raja Samudera-Pasai dengan gelaran Sultan Malik al-Salih. Beliau ialah menantu raja Perlak, dan telah meninggal dunia dalam tahun 1297.

3. Ini bererti bahawa insitusi kerajaan Melayu di rantau ini telah wujud sejak lebih kurang sembilan ratus tahun dahulu. Dari Perlak dan Samudera-Pasai, beberapa buah kerajaan Melayu yang lain telah ditubuhkan di Tanah Melayu, di beberapa bahagian lain di Sumatera, di Borneo, di Kepulauan Moluku dan Ternate, di Makasar, di Patani, di Selatan Filipina, dan akhirnya di pulau Jawa. Di Semenanjung Tanah Melayu, telah wujud Kerajaan Melayu di Pantai Timur ini lama sebelum kerajaan Melayu Melaka ditubuhkan, misalnya di Terengganu di akhir abad ke-13. Ini ternyata berdasarkan batu bersurat Terengganu yang terkenal itu, yang bertarikh 22 Februari tahun 1303 (menurut bacaan Profesor Muhammad Naquid Al-Attas), yang ditemui semasa pemerintahan Sultan Sulaiman Badrul Alam Syah. Nama raja Melayu yang tercatat pada batu ini ialah Raja Mandalika.

4. Sejarah institusi raja atau sejarah kerajaan Melayu ini kekal di Tanah Melayu hingga ke hari ini, walaupun selama lebih kurang sembilan ratus tahun itu, institusi ini telah mengalami pelbagai cabaran dan tentangan agama, budaya, politik dan ekonomi yang hebat dari dunia luar, khususnya bermula dengan kalahnya kerajaan Melayu Melaka di tangan penjajah Portugis dalam tahun 1511 dan bermulanya sejarah penjajahan tiga kuasa Barat di dunia Melayu-Islam ini, iaitu Portugis, Belanda dan kemudiannya Inggeris. Percubaan terakhir oleh pihak penjajah, iaitu British, untuk memusnahkan institusi kerajaan Melayu, atau kedaulatan raja-raja Melayu, berlaku dalam tahun 1946 melalui muslihat atau rancangan ‘Malayan Union’. Mujurlah ada pemimpin Melayu yang berjiwa Melayu, berjiwa rakyat, iaitu Dato’ Onn Jaafar, yang muncul ke depan untuk memimpin gerakan raksasa Melayu menentang rancangan British itu untuk memusnahkan kedaulatan raja-raja Melayu di negeri ini dan seterusnya untuk menjadikan Tanah Melayu sebagai koloni British. Kita tidak akan merdeka dalam tahun 1957 jikalau rancangan British itu tidak digagalkan oleh orang Melayu.

5. Agak penting kita fikirkan apakah faktor-faktor yang menyebabkan institusi raja atau kerajaan Melayu itu mampu kekal sepanjang sejarah yang cukup panjang itu hingga ke hari ini. Faktor utama yang penting disebutkan di sini ialah faktor agama Islam yang menjadi asas atau pedoman utama kerajaan atau raja-raja Melayu itu. Agama baru itu (Islam) membawa mesej atau risalah tentang kebebasan manusia di sisi Allah, yakni manusia adalah makhluk yang bebas daripada kuasa-kuasa lain selain Allah, Allah yang Mencipta segala makhluk di alam ini. Manusia diperintah supaya menyembah hanya Tuhan Yang Satu, iaitu Allah. Manusia hanya hamba kepada Allah, tidak kepada yang lain. Prinsip ketauhidan inilah yang mengangkat darjat manusia itu sebagai makhluk Allah yang bebas untuk mengadakan hubungan secara langsung dengan Tuhan-nya, tidak melalui orang tengah, tidak melalui perantara, dan tidak melalui para paderi dan sebagainya.

6. Dan sehubungan dengan ini, manusia Melayu itu diberitahu bahawa mereka adalah khalifah di dunia, ditugaskan untuk memerintah atau menguruskan dunia ini untuk kebaikan, untuk keamanan, dan kesejahteraan ummah menurut pedoman hidup – ad-Din – yang telah diwahyukan oleh Allah dalam Kitab-Nya, Al-Quran, dan menurut Sunnah Nabi-Nya, Muhammad S.A.W. Ini bererti bahawa ketua umat Islam Melayu itu, tidak kira apakah nama gelaran yang kita gunakan, sama ada ‘khalifah’ atau ‘raja’, atau ‘ presiden’, atau ‘perdana menteri’, diperintahkan oleh Allah supaya memerintah negeri menurut ajaran-ajaran Islam yang tauhid dan bersifat egalitarian itu, yang bererti bahawa manusia tidak dibeza-bezakan berdasarkan darjat keturunan, pangkat dan kekayaan, tetapi berdasarkan darjat ketakwaannya kepada Allah.

7. Banyak orang tidak memahami mesej Islam ini lalu menyangka bahawa sistem pemerintahan raja Melayu dahulu adalah sistem ‘feudalistik’. Di bawah sistem itu raja-raja Melayu dahulu kala dikatakan memerintah secara autokratik, zalim dan tidak adil. Ini pandangan yang tidak benar sama sekali. Istilah ‘feudalisme’ atau ‘feudalistik’ bukan istilah kita. Ini istilah Barat yang lahir dari sejarah pemerintahan raja-raja mereka yang dicirikan oleh sistem pembahagian masyarakat antara golongan ‘serfdom’ (hamba abdi) dengan golongan bangsawan yang mempunyai struktur yang cukup banyak lapisannya: ada raja, ada sistem ‘dukeship’, ‘lordship’, ‘manorship’ dan sebagainya, yang masing-masing mempunyai hak milik tanah anugerah raja untuk dikerjakan oleh golongan hamba abdi atau ‘serfs’. Kerana inilah akhirnya berlaku pelbagai pemberontakan dan revolusi, misalnya di England dan di Perancis, menentang sistem yang feudalistik itu, menggantikannya dengan sistem yang dianggap lebih ‘liberal’, iaitu sistem demokrasi.

8. Dalam sistem kerajaan Melayu diraja, kuasa raja diimbangi oleh peraturan yang dibina atas gabungan antara cara pemerintahan menurut ajaran Islam dan berdasarkan budaya atau adat Melayu yang serasi dengan ajaran agama Islam.

9. Raja Melayu memerintah menurut nasihat para pegawainya, terutama bendahara (= ‘Perdana Menteri’ sekarang), temenggung (sebagai menteri dalam negeri), dan laksamana (misalnya Hang Tuah sebagai hulubalang diraja) atau ‘the royal warrior’ atau sebagai menteri pertahanan negara. Mereka tidak mempunyai hamba abdi, tidak mempunyai ‘tanah anugerah’ raja untuk dikerjakan oleh kaum hamba abdi atau ‘serf’. Dalam masyarakat Melayu, perkataan ‘hamba’ tidak bererti ‘hamba abdi’ atau ‘hamba sahaya’, tetapi merupakan perkataan yang membayang adat Melayu menghormati ketuanya.

10. Dari beberapa segi, raja Melayu itu tidak ubah seperti raja berperlembagaan dalam sistem demokrasi hari ini. Kebanyakan urusan negeri diserahkan kepada Bendahara, Temenggung dan Laksamana. Raja dianggap sebagai ketua negeri yang memegang amanah dari Tuhan, atau disebut juga sebagai Zirullah fi’l-ard atau Zirullah fi’l-‘alam, iaitu sebagai cermin Allah di bumi, maka sebagai cermin atau wakil (khalifah) Allah di bumi, raja Melayu itu diwajibkan memerintah dengan adil berdasarkan hukum dan perintah Allah. Walaupun undang-undang dunia dan adat diamalkan, ini hendaklah tidak bercanggah atau melanggar hukum Allah. Pandangan ini dijelaskan oleh pepatah Melayu melalui kata-kata ‘Adat bersendikan Kitab’ (yakni, Quran). Di Barat, hukum ini tidak ada.

11. Konsep raja sebagai pemegang amanah dari Tuhan ini dijelaskan oleh pengarang ‘Sejarah Melayu’ (yang siap dikarang dalam tahun 1612) melalui bahasa kiasan. Menurut pengarang itu, raja dianggap sebagai ‘pohon’ yang memayungi rakyat (yakni, membela dan melindungi rakyat), dan rakyat pula dianggap sebagai ‘akar’ yang memberi kekuatan kepada ‘pohon’ itu. Tanpa akar (= rakyat), pohon (= raja) tidak dapat berdiri teguh. Pengarang itu juga menjelaskan tentang pentingnya konsep permuafakatan antara raja dengan para pegawainya, dan menyifatkan segala amalan kerajaan Melayu sebagai ibadah kepada Allah.

12. Berdasarkan huraian yang dibuat oleh pengarang ‘Sejarah Melayu’ itu maka jelaslah bahawa institusi raja Melayu itu bukanlah institusi berdasarkan sistem autokrasi atau ‘dictatorship’, atau institusi yang melanggar ajaran Islam, tetapi merupakan institusi yang unik, institusi yang wujud berdasarkan tatacara dan ciri-ciri berlandaskan ‘model’ Melayu-Islam. Perihal bahawa ada raja Melayu yang tidak mematuhi prinsip-prinsip itu dan melakukan kesalahan peri laku buruk, yang boleh menyusahkan rakyat, ini jangan kita anggap sebagai perangai contoh, lalu menuduh seluruh institusi raja Melayu itu sebagai institusi feudalistik atau institusi anti-Islam. Pandangan ini dikelirukan oleh ahli sejarah – termasuk ahli sejarah dari kalangan sarjana Melayu sendiri – yang melihat sejarah Melayu itu dari luar, dan mungkin berdasarkan teori-teori atau perspektif penjajah atau ilmu orientalisme.

13. Kita juga harus ingat bahawa dalam sistem demokrasi hari ini pun, ada juga pemimpin atau ketua kerajaan yang memerintah secara autokratik, tidak bermuafakat dengan orang lain, tidak mahu mendengar nasihat, tidak suka ditegur, dan sebagainya. Seperti yang telah disebutkan tadi, Raja Melayu dahulu kala kebanyakannya memerintah menurut nasihat para pegawainya. Jikalau pegawai tidak bercakap benar dan memberikan nasihat yang salah kepada rajanya, maka akan berlakulah kucar kacir dalam negeri. Bahkan dalam sejarah pemerintahan negara Islam, di bawah sistem khalifah, selepas wafatnya Nabi Muhammad S.A.W. dan selepas empat khalifah ar-rasyidin, banyak juga khalifah yang zalim, yang tidak adil, yang tidak memerintah menurut ajaran Islam dan Perintah Tuhan. Jadi, ini bukan salah sistem, tetapi salah orangnya.

14. Satu lagi faktor yang menyebabkan tahannya institusi kerajaan Melayu itu ialah, kemampuannya untuk menjadi ‘epicentre’ atau pusat tumbuh dan berkembangnya tamadun Melayu. Dari istana Raja Melayulah lahir sistem kerajaan Melayu, sistem undang-undangnya, adat istiadat Melayu, bahasa Melayu ‘standard’, mengatasi bahasa-bahasa daerah atau loghat daerah bahasa Melayu, untuk menjadi ‘bahasa rasmi’ kerajaan Melayu, dan sebagai bahasa diplomasi kerajaan Melayu, dan di situlah atau dari situlah juga agama Islam dikembangkan dan merebak ke seluruh kawasan lain di rantau ini.

15. Raja Melayu sering menjadi ‘patron’ atau pendukung kepada kegiatan penulisan. Merekalah yang menggalakkan perkembangan ilmu, usaha penulisan dan kegiatan mengembang dan menyebarkan ilmu. Demikianlah cara yang mendorong tumbuhnya kesusasteraan Melayu.

16. Raja Pasai, misalnya, sering mengadakan wacana atau perbincangan ilmu antara ulama’ tempatan dengan para fuqaha yang datang dari negeri Arab (Mekah dan Madinah, khususnya). Majlis perbincangan itu biasanya diadakan di masjid selepas sembahyang Jumaat atau selepas sembahyang Zuhur.

17. Di kota kerajaan Melayu itu jugalah tumbuh dan berkembang kegiatan perdagangan yang cukup aktif, diuruskan dengan cekap oleh pegawai-pegawai raja, iaitu syahbandar. Contohnya ialah, pada zaman pemerintahan kerajaan Melayu Melaka, pelabuhan Melaka merupakan sebuah ‘entreport’ atau pelabuhan perdagangan antarabangsa yang masyhur. Menurut Tome Prees, ‘diarist’ bangsa Portugis yang terkenal pada zaman itu, ‘…whoever is lord of Malaka has his hand on the throat of Venice.’ Pada zaman itu Pelabuhan Melaka dianggap oleh bangsa Eropah sebagai ‘competitor’ kepada pelabuhan Venice.

18. Dari istana raja Melayu jugalah bahasa Melayu berkembang ke seluruh rantau ini, merentas sempadan etnik dan geografi, sehingga bahasa ini menjadi lingua franca di seluruh kawasan yang kini kita sebut sebagai kawasan Malaysia-Indonesia-Brunei. Dan raja Melayu menggunakan bahasa Melayu, tidak bahasa lain, sebagai bahasa diplomasi. Banyak surat dalam bahasa Melayu dikirimkan oleh raja-raja Melayu kepada raja Eropah, termasuk King James I di England, dan kepada raja Portugal.

19. Itulah secara ringkasnya sejarah pertumbuhan tamadun bangsa Melayu di rantau ini melalui institusi kerajaan Melayu. Orang Melayu menganggap institusi raja Melayu penting sebagai ‘payung’ atau penaung dan pelindung kepada rakyat Melayu, sebagai penjaga agama Islam, budaya dan bahasa Melayu. Kerana inilah, seperti yang telah disebutkan tadi, apabila British cuba memusnahkan warisan atau sejarah ini melalui muslihat ‘Malayan Union’ dalam tahun 1946, seluruh bangsa Melayu bangkit menentang muslihat itu.

20. Apabila kita mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957, kita mengekalkan warisan bangsa Melayu itu. Kita mengekalkan raja dan institusi raja Melayu dalam sistem baru, iaitu sistem demokrasi berperlembagaan, di dalamnya raja Melayu menjadi sebahagian dari sistem pemerintahan kita, baik di peringkat persekutuan mahupun di peringkat negeri. Raja Melayu dianggap sebagai ‘constitutional monarch’, diberi kuasa untuk menandatangani segala bill parlimen atau bill dewan undangan sebelum bill itu menjadi undang-undang. Walaupun di bawah sistem yang baru ini – sistem yang mengikut model White Hall British – raja Melayu tidak lagi mempunyai kuasa politik atau kuasa eksekutif, tetapi peranan warisannya, iaitu sebagai penaung dan pelindung hak-hak Melayu yang telah wujud sejak sebelum kemerdekaan tetap kekal, sebagaimana termaktub dalam banyak Fasal Perlembagaan Persekutuan. Raja Melayu tetap menjadi ketua Islam di negara ini.

21. Jikalau tidak kerana adanya warisan itu berkemungkinan besar bangsa Melayu masih terjajah hari ini, atau jikalau pun kita diberikan kemerdekaan oleh pihak British, kemerdekaan itu mungkin tidak akan berasaskan warisan Melayu, dan kalau itu berlaku maka bangsa Melayu tidak akan kekal memerintah negeri ini sebagaimana halnya sekarang ini.

22. Bagi bangsa Melayu hari ini, sangat pentinglah kuasa politik diimbangi dengan kuasa agama, kuasa budaya Melayu yang sejati, selain diimbangi dengan nilai amanah, moral yang tinggi dan peri laku yang bersih dari segala unsur yang boleh merosakkan umat Melayu-Islam di negara ini. Imbangan inilah yang perlu ada, dan institusi raja Melayu yang telah kekal selama sembilan ratus tahun itu dan telah menjadi pusat pertumbuhan dan perkembangan tamadun Melayu, sebagaimana yang dihuraikan tadi, memainkan peranan penting dalam proses perimbangan ini.

23. Kalau kita mengambil iktibar daripada ‘model’ kepimpinan kerajaan Melayu itu, kita dapat mempelajari hal-hal yang berikut: Pertama, raja yang memperlihatkan ciri-ciri kepimpinan yang dapat membawa kemajuan kepada negeri dan rakyatnya ialah raja yang sentiasa menyedari akan tanggungjawabnya kepada Allah dan kepada agamanya untuk memerintah atau menguruskan halehwal negeri dan rakyatnya menurut nilai-nilai Islam dan berdasarkan ciri-ciri akal budi dan budi pekerti budaya atau adat Melayu yang baik dan yang dapat diterima oleh rakyat atau masyarakat Melayu yang terkenal dengan sifat ketelusannya, amanahnya, sifat keterbukaan mindanya, (sifat toleransinya, dan sebagainya) dan sifat permuafakatan dan budaya kerjasamanya (sebagaimana diungkapkan melalui kata-kata seperti ‘berat sama dipikul, ringan sama dijinjing’ atau ‘hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah’), sifat kerajinan Melayu, dan sifat ketaatan Melayu terhadap pemimpin yang baik. Sifat-sifat inilah yang memainkan peranan penting dalam ketahanan tamadun Melayu menghadapi segala macam cabaran dan keadaan. Dan pemimpin yang baik, cekap dan amanah, sentiasa menggalakkan sifat-sifat ini dalam usahanya untuk memajukan bangsanya. Pembangunan bangsa dan negara tidak akan kekal sekiranya sifat-sifat seperti itu digantikan dengan atau dimusnahkan melalui sistem atau ‘model’ pembangunan yang terlalu mementingkan ‘persaingan’ dan sifat ‘individualisme’ dalam usaha untuk mengejar kemajuan materialistik. Hari ini, kita sudah mulai melihat betapa orang Melayu makin lama makin tidak menghiraukan prinsip atau sifat permuafakatan, kerjasama, sifat amanah, baik sangka, dan sebagainya di bawah sistem pembangunan yang terlalu menggalakkan ‘persaingan’ melalui pasaran bebas – pasaran bebas dalam semua bidang, tidak hanya dalam pasaran bebas ekonomi dan perniagaan, tetapi juga dalam bidang politik, budaya dan pendidikan. Kita harus kembali mempertahankan sifat-sifat Melayu yang sudah tahan lama dalam sejarahnya menghadapi pelbagai cabaran dan ancaman yang datang dari luar, untuk menjamin kemajuan bangsa Melayu hari ini tidak dirosakkan oleh nilai-nilai yang sama sekali tidak serasi dengan nilai agama Islam dan adat Melayu.

24. Kedua, seperti yang telah saya sebutkan tadi, raja Melayu mentadbirkan negeri melalui nasihat para pembesarnya. Dalam hal ini, prinsip permuafakatan ditegaskan. Kita belajar dari peri laku raja dan pembesar raja yang baik dan dari peri laku raja dan pembesar raja yang buruk. Kucar-kacir berlaku apabila pembesar raja atau orang istana memberikan nasihat yang salah kepada raja – nasihat berdasarkan perasaan hasad dengki, iri hati dan fitnah para pegawai raja terhadap orang lain yang dipercayai dan disayangi oleh raja. Contohnya, Bendahara Tun Mutahir, bendehara Melaka yang dianggap ‘warak’ orangnya, difitnah, kononnya dia hendak merampas kerajaan Melaka. Yang memfitnahnya ialah ‘tauke’ atau saudagar asing (Mandeliar) yang mempunyai kepentingan terhadap Raja. Lalu raja dengan tidak usul periksa, menitahkan supaya bendahara itu dibunuh. Akibatnya, pentadbiran negeri Melaka menjadi lemah, dan dalam keadaan begitulah, Portugis menyerang Melaka.

25. Hang Tuah yang disayangi oleh raja kerana taat setianya, kerana sifat amanahnya, dan kerana kepintaran dan kebijaksanaannya sebagai penasihat raja, difitnah oleh para pegawai istana kerana iri hati terhadap Hang Tuah. Difitnahkan bahawa Hang Tuah menaruh hati kepada salah seorang gundik yang disayangi raja. Lalu, raja dengan tidak usul periksa, memerintahkan kepada Bendahara supaya Hang Tuah dihukum bunuh. Bendahara yang bijaksana tidak menjalankan perintah itu, kerana dia tahu Hang Tuah tidak bersalah. Dia menyorok Hang Tuah. Apakah akibatnya? Hang Jebat memberontak, ‘menderhaka’ kepada rajanya. Maka Hang Tuah dibawa semula menghadap raja. Lalu raja memerintahkan Hang Tuah supaya memulihkan keadaan dengan membunuh Hang Jebat, sahabatnya yang setia. Peristiwa inilah yang melahirkan kata-kata yang kekal dalam ingatan (memori) bangsa Melayu hingga hari ini, iaitu kata-kata ‘Raja Adil raja disembah, raja zalim, raja disanggah’.

26. Peristiwa lain ialah peristiwa Singapura dilanggar todak. Para penasihat raja yang tidak menggunakan akal atau tidak jujur, menyuruh rakyat bertahan dengan betis mereka. Maka banyaklah rakyat yang mati. Maka datang seorang budak yang mengemukakan idea yang lebih baik: dia mencadangkan supaya dipacak batang-batang pisang di sepanjang tebing. Maka banyaklah todak yang mati apabila muncungnya tersekat pada batang pisang itu. Lalu, para pegawai raja yang tidak menggunakan akal, yang cemburu dan iri hati, memberitahu raja bahawa budak yang cerdik itu berbahaya kepada raja. Raja pun memerintahkan supaya budak yang cerdik itu dibunuh.

27. Pelajaran yang dapat kita peroleh untuk dijadikan renungan kita hari ini ialah: apabila pemerintah atau pemimpin tidak menggunakan kebijaksanaan akal untuk memerintah negeri, apabila para pegawai dan ahli politik yang memagari raja atau pemimpin, tidak jujur, pengampu, memberi nasihat yang salah, berdasarkan kepentingan diri, kaki makan suap, maka buruklah padahnya kepada kerajaan atau pemimpin itu, dan susahlah rakyat. Kemajuan yang sebenar tidak akan tercapai dalam budaya dan politik pemerintahan yang tidak berdasarkan meritokrasi – meritokrasi ilmu dan akal, meritokrasi agama, meritokrasi budaya dan moral. Tanggungjawab raja atau pemimpin sebagai pembela rakyat, sebagai payung kepada rakyat, sebagai pemegang amanah dari Tuhan, sebagaimana yang menjadi model atau acuan asas nilai dan prinsip kerajaan Melayu dahulu, akan terabai.

28. Ketiga, dan yang terakhir, ialah kemajuan bangsa tidak akan berlaku jikalau kepimpinan Melayu atau sistem pembangunan tidak berlandaskan keadilan yang menyeluruh. Keadilan tidak boleh ditakrifkan berdasarkan kepentingan pemimpin atau kepentingan politik. Keadilan ialah nilai kemanusiaan yang seharusnya berdasarkan peraturan sunnatullah – peraturan Ilahi, peraturan ‘kulli’ atau sejagat, yang tidak mengira bangsa, agama, keturunan, dan kepentingan politik kepartian, atau kepentingan ‘mazhab’ tertentu. Dulu, di bawah pemerintahan British, tidak terdapat keadilan ekonomi, keadilan pendidikan dan keadilan sosial yang merentas sempadan kawasan (geografi) dan sempadan etnik. Akibatnya – akibat yang masih dapat kita lihat wajahnya pada hari ini – ialah (a) kemajuan di Tanah Melayu tidak merata. Bahagian pantai barat Semenanjung Tanah Melayu menjadi pusat kemajuan ekonomi, manakala kawasan pantai timur, yang paling banyak didiami penduduk Melayu, terbiar, dan terus menjadi kawasan kemiskinan hingga hari ini. (b) Kemajuan di kawasan bandar dan kawasan luar bandar (kawasan majoriti penduduk Melayu) tidak seimbang. Hingga hari ini kita masih lagi bercakap tentang ‘kawasan luar bandar’ sebagai kawasan yang ‘tidak maju’ atau kurang maju berbanding dengan kawasan bandar yang ‘maju’. Dan nampaknya, ketidakseimbangan ini, baik antara kawasan mahupun antara golongan etnik, masih tidak dapat dirapatkan jurangnya, malah makin membesar, padahal kuasa pemerintahan dan kuasa untuk membangunkan negara ini secara seimbang menurut cara dan pilihan kita, telah beralih dari tangan British ke tangan bangsa kita sendiri.

29. Untuk menyelesaikan masalah yang lama itu, maka kita mestilah memajukan negara atau bangsa menurut keadilan berdasarkan konsep atau prinsip wasatiah itu, iaitu konsep pembangunan ummah berdasarkan keseimbangan atau pembangunan pertengahan atau sederhana antara pembangunan materialistik atau fizikal dengan pembangunan manusia, antara pembangunan negara dengan pembangunan bangsa, di samping menggunakan apa-apa acuan lain yang sesuai. Negara boleh jadi ‘maju’, tetapi tidak semestinya bangsa atau penduduknya juga turut ‘maju’, tidak sahaja dari segi keadaan ekonominya tetapi lebih penting lagi dari segi kemajuan moral dan adabnya.

30. Kalau kita berpegang kepada ajaran Islam, maka sepatutnya kita mempunyai ‘model pembangunan’ yang cukup adil dan menyeluruh, pembangunan yang dapat mengimbangi kemajuan fizikal di peringkat negara dengan kemajuan kemanusiaan, budaya dan moral di peringkat bangsa kita. Kita sepatutnya mempunyai sikap yang terbuka, bahawa demi Islam, demi bangsa, bukan demi parti atau kepentingan puak, penduduk bangsa Melayu di kawasan yang masih belum maju itu perlu dibantu untuk maju bersama-sama kaum-kaum lain di kawasan pantai barat, tidak kira apakah orientasi politik mereka.

31. Sebagai kesimpulan, untuk menjadi bangsa yang maju dan kuat di negara ini, bangsa Melayu perlu dibentuk, melalui sistem dan kaedah pembangunan yang baik, untuk menjadi bangsa yang bermoral tinggi, tidak rakus, tidak rasuah, tidak biadab, amanah, terbuka mindanya, dan bekerjsama dan bermuafakat antara sesama bangsa, sebagaimana dilakukan oleh kaum-laum lain di negara ini. Kuasa pemerintahan harus diimbangi antara kuasa politik dengan nilai budaya, agama dan warisan bangsa. Dalam hal ini, institusi raja Melayu turut memainkan peranan penting sebagai ‘pohon’ kepada rakyat yang menjadi ‘akarnya’. Ingatlah kata-kata warisan Melayu: ‘Raja adil raja disembah, raja zalim raja disanggah’. ‘Raja’ di sini bererti ‘pemimpin Melayu’, dan perkataan ‘disembah’ bererti ‘menghormati’ pemimpin.



Pidato Y.B.M. Tengku Razaleigh Hamzah - Penaung Majlis Tindakan Rakyat Kelantan, Pada Peresmian KONVENSYEN PERPADUAN RAKYAT KEDAULATAN RAJA Dalam rangka HARI KEPUTERAAN KDYMM AL-SULTAN KELANTAN 2005 Di Hotel Grand Riverview, Kota Baharu, Kelantan (Sabtu pagi, 16 April 2005).


Sumber: HUMBAHASTimes


0 comments:

Post a Comment



Jika anda memiliki akun di facebook, silahkan klik tombol FOLLOW THIS NETWORK di atas, atau klik di sini. Jika diminta, loginlah seperti biasa. Lalu klik tombol FOLLOW. Tunggu beberapa saat sampai notifikasi kofirmasi muncul, saat mana anda dapat segera logout. Satu klik dari anda sangat berarti bagi blog ini. Atas semua sumbangsih yang telah diberikan, tidak lupa kami ucapkan terima kasih yang sebesarnya



KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT DAFTAR SELURUH ARSIP