Sunday, July 25, 2010

Cabaran Pendidikan Melayu Global

Pendidikan adalah kepentingan awam. Peranan sistem pendidikan sangat penting dalam pembangunan setiap negara. Pendidikan yang berkualiti dan cemerlang merupakan wahana uasaha membangunkan generasi Melayu sejagat. Sistem pendidikan negara memerlukan usaha-usaha yang strategik yang boleh meningkatkan keupayaan dan kemampuan amalannya ke tahap kauliti yang tingggi dan cemerlang agar dapat menangani cabaran-cabaran abad ke-21. Sistem pendidikan akan berubah sejajar dengan peubahan aspek ekonomi, budaya dan politik.

Perubahan aspek tersebut amat hebat dan pantas. Leka dan alpa boleh menyebabkan kita terpinggir dan tersingkir. Dengan itu Intellectual capital akan menjadi asas kukuh daripada kekayaan yang berupa tanah, wang atau bahan mentah. Persaingan melebihi batas kawasan kepada persekitaran sejagat dan terlalu sengit. Prinsip dan nilai sejagat akan menentukan kejayaan sesuatu institusi, organsisasi atau negara. Oleh itu sistem pendidikan dan persekolahan dalam menghadapi gelombang perubahan Melayu sejagat perlu berfungsi pada landasannya untuk menyumbang kepada pembangunan bangsa dan negara.

Bangsa Melayu perlu melengkapkan diri dari segala sudut, dari ilmu pengetahuan yang berasaskan teknologi tinggi sehingga memupuk semangat Alam Melayu Raya yang unggul di dalam jiwa masing-masing. Jika orang Melayu tidak bersedia menghadapi perubahan dunia, bangsa Melayu pasti tidak akan mampu bersaing dengan negara-negara maju lain. Disini saya turunkan ucapan dua pemimpin Melayu Malaysia. Meraka mahukan pembangunan pendidikan supaya memainkan peranan dalam pembangunan insan.

"Daripada pengalaman yang menakjubkan selama dua dasawarsa yang lalu di kalangan semua negara yang dulunya terbatas 'sumber alamnya', maka amatlah jelas bahawa sumber yang paling utama bagi sesebuah negara adalah bakat, kemahiran, daya cipta dan daya usaha rakyatnya. Tenaga otak kita adalah sumber yang jauh lebih berharga daripada sumber alam. Rakyat adalah sumber kita yang paling utama. Tanpa ragu-ragu lagi, pada tahun 1990-an dan seterusnya Malaysia mestilah memberi perhatian yang sepenuhnya terhadap pembangunan sumber yang amat penting ini”.

Tun Dr. Mahathir bin Mohamad, 28hb. Februari, 1991

"Adalah menjadi misi kerajaan untuk menghasilkan sistem pendidikan yang bertaraf dunia dari segi kualiti ataupun dengan izin, a world class quality education system. Bagi memperkembangkan potensi individu sepenuhnya dan mencapai aspirasi Negara Malaysia."

Ucapan Dato’ Sri Mohd Najib Tun Razak di Dewan Rakyat pada 18 Disember 1995

Penakrifan Melayu
Istilah "Melayu" ditakrifkan oleh UNESCO pada tahun 1972 seperti dalam projek kajiannya yang bertajuk “The Malay Culture Studiy Project”. UNESCO telah menakrifkan Melayu adalah satu suku bangsa yang mendiami di beberapa negara seperti Malaysia, Thailand, Indonesia, Filipina, dan Madagaskar. Walaupun begitu masih terdapat bangsa Melayu dari suku Jawa di negara Surinam dan bangsa Melayu asal suku bugis di Afrika Selatan.

Walaupun begitu masih terdapat beberapa perbezaan penakrifan di beberapa negara yang didiami bangsa Melayu. Di Malaysia, menurut Perlembagaan Malaysia, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada seseorang yang berketurunan Melayu yang menganut agama Islam. Dengan kata yang lain, bukan semua orang yang berketurunan daripada nenek moyang Melayu adalah orang Melayu.

Di Indonesia, Melayu adalah salah satu suku yang mendiami di Pulau Sumatra dan sebagainya. Bagi Thailand, Melayu adalah salah satu suku yang bertutur dalam bahasa Melayu dan mengamal kebudayaan Melayu. Sebaliknya jika orang Melayu itu telah diassimilasi dengan menggunakan bahasa Thai secara total, mereka disebut Thai Muslim.

Istilah "Melayu" untuk merujuk kepada nama bangsa atau bahasa adalah suatu perkembangan yang agak baru dari segi sejarah, iaitu setelah adanya Kesultanan Melayu Melaka. Walaupun demikian, tidaklah sehingga abad ke-17 bahawa istilah "Melayu" yang merujuk kepada bangsa semakin digunakan secara meluas. Sebelum itu, istilah "Melayu" hanya merujuk kepada keturunan sebuah negeri di Sumatera sahaja.

Cabaran Bangsa Melayu di dalam bidang pendidikan
Pembinaan negara bangsa bagi sebuah negara adalah amat penting terutama dalam era globalisasi yang membenarkan pengaliran secara bebas dan pantas bukan sahaja maklumat, modal serta manusia tetapi juga sistem nilai, budaya dan kepercayaan dari pelbagai negara. Keupayaan membina negara bangsa bergantung kepada perkongsian nilai serta semangat patriotisme, lingua franca, integrasi, kewarganegaraan dan demokrasi.Cabaran globalisasi dan liberalisasi menuntut perubahan dinamik dalam system pendidikan bagi melahirkan warganegara “lokal” yang bertindak bijak menghadapi cabaran globalisasi dan liberalisasi mengikut acuan local atau tempatan. Fokus utama dalam membina negara bangsa mencakupi usaha-usaha seperti memperkasakan bahasa kebangsaan sebagai asas perpaduan, integrasi nasional dan bahasa ilmu.

Untuk menerima arus globalisasi di bidang pendidikan Melayu. Kita perlu menjalankan 2 proses iaitu pertama, Pembinaan Budaya Ilmu di kalangan pendidik Melayu sejagat dan kedua, Pembudayaan Masyarakat Melayu Sejagat

Pembinaan Budaya Ilmu
Ilmu merupakan faktor terpenting dalam menentukan kebahagiaan individu dan kejayaan serta kekuatan bangsa Melayu. Ilmu membina kekuatan minda ke arah daya fikir tinggi dan daya kreatif di kalangan indidvidu dan masyarakat Melayu. Agama Islam dan sistem sosial bangsa Melayu mahukan ahlinya menguasai ilmu pengetahuan sama ada untuk kebahagiaan duniawi dan ukhrawi. Budaya Ilmu bermaksud kewujudan satu keadaan di mana setiap lapisan masyarakat melibatkan diri baik secara langsung mahupun tidak langsung dengan kegiatan-kegiatan keilmuan di setiap kesempatan: dan keadaan di mana segala tindakan manusia baik di tahap individu dan peringkat masyarakat, diputus dan dilaksanakan berdasarkan ilmu pengetahuan. budaya ilmu ialah satu budaya yang meletakkan nilai tertinggi dan asas kepada ilmu pengetahuan sebagai kunci segala kebaikan dalam kehidupan individu, keluarga, dan masyarakat Melayu.

Para pendidik Melayu perlu sedar bahawa dalam usaha kita menghadapi masa depan yang penuh saingan, pendidikan Melayu di setiap negara adalah bersifat futuristik, maka kita hendaklah mampu menyediakan generasi muda kita untuk menghadapi globalisasi. Kemungkinan berupa masyarakat industeri, ekonomi yang global, kebanjiran teknologi tinggi dan sentiasa bertambah canggih, penggunaan komputer sebagai keperluan urusan harian dan limpahan maklumat sejagat. Kita perlu lahirkan generasi berilmu untuk berfikir, bertindak dan menghasilkan sesuatu yang bermanfaat berlandaskan skop yang global dan teknologi yang terkini, serta berupaya menangani gelombang perkembangan dan perubahan masa kini.

Proses membina budaya ilmu
Setiap pendidik Melayu di setiap Negara perlu mempunyai kemampuan untuk menyusun, dan mensepadukan ilmu dengan perkembangan semasa, seperti:
  • Teknologi dan perkomputeran, pendidik Melayu seharusnya mengorak langkah dan menggembleng peluang untuk melengkapkan diri berketrampilan sebagai pemimpin ilmu berasaskan teknologi serta bersedia menjurus kepada penguasaan dan penggunaan teknologi maklumat untuk pelbagai bidang dan menjadi mekanisme urusan harian.
  • Kemahiran berfikir dan pemikiran konstruktif, pelajar-pelajar Melayu mestilah dididik menggunakan daya fikir tinggi dan minda untuk melahirkan pelajar-pelajar untuk belajar sepanjang hayat dan mempunyai modal intelektual tinggi menghadapi era globalisasi. Kemahiran berfikir danpemikiran konstruktif perlu juga terarah kepada pandangan jauh dan luar biasa.
  • Kebolehan menterjemah dan mengawal kurikulum yang luwes, pendidik Melayu seharusnya mempunyai kemahiran dan ketrampilan mengaitkan domain teori dengan praktis dan mesti bijak membina pengetahuan dan kemahiran secara developmental mengikut kadar pembelajaran untuk mencapai kemahiran thoughtful learning. Kurikulum sepatutnya mempunyai ruang untuk disesuaikan dengan perkembangan semasa berdasarkan keperluan negara, perkembangan semasa dan kemajuan sejagat.
  • Menerapkan nilai-nilai murni/moral/akhlak, nilai-nilai murni menitikberatkan perlakuan baik, peradaban dan tatasusila insan dalam hubungannya sesama manusia, alam dan Tuhan. Elemen ini sangat penting dalam usaha pembudayaan masyarakat yang dapat mewujudkan kesejahteraan dan keharmonian negara.
  • Menguasai pengetahuan dan kemahiran industri – melahirkan generasi untuk pasaran tenaga kerja industri merupakan dasar pembangunan setiap negara. Usaha ini ialah sebagai sumbangan kepada melahirkan sumber manusia yang menyumbang kepada tenaga buruh yang berkualiti, seba boleh dan responsive kepada perubahan keadaan perindustrian. Kurikulum dan daya didik di dalam sistem pendidikan hendaklah berupaya merealisasikan masyarakat sainstifik, teknologis dan progresif yang inovatif dan berpandangan jauh ke hadapan.
Pembudayaan Masyarakat Melayu Sejagat
Perkembangan ekonomi dan industri yang berlaku dengan pesat dan menyebabkan masyarakat Melayu di setiap negara perlu mencari rakan kongsi, kawan serumpun untuk bersatupadu menerima arus globalisasi. YAB Menteri Besar Negeri Melaka, Dato’ Seri Mohd Ali Mohd Rustam telah menerajui sebuah badan yang dinamakan Dunia Melayu Dunia Islam(DMDI. Badan ini dapat menjadi badan payung kepada pertubuhan-pertubuhan Melayu di Alam Melayu. Dengan pembudayaan masyarakat Melayu Sejagat ini dengan mengadakan seminar, bengkel dan sebagainya. Dapatalah menjaringkan pertubuhan-pertubuhan Melayu yang berada di seruluh dunia untuk mengenali diantara satu sama lain. Dan dengan cara inilah dapat memupuk semangat masyarakat Melayu Sejagat. Disini saya cadangan menubuhkan sebuah badan pendidikan Melayu Sejagat untuk menjaringkan pendidik-pendidik Melayu yang berada di negara Melayu dan bukan negara Melayu.

  • Majlis Permufakatan Pendidikan Melayu Sejagat, negara-negara yang berbahasa Melayu seperti Indonesia, Malaysia dan Brunei telah menubuhkan sebuah badan yang bernama Majlis Antarabangsa Bahasa Brunei-Indonesia-Malaysia ataupun ringkasannya MABBIM. Dengan majlis inilah negara-negara Melayu tersebut dapat menyelaraskan kata-kata bahasa Melayu yang agaknya sedikit beza di antara ketiga-tiga negara. Dengan itu, setiap masyarakat Melayu sejagat baik yang mendiami negara Melayu ataupun mereka sebagai minority perlu menyatukan dalam bidang pendidikan Melayu. Badan ini boleh menyelaraskan, mengubahsuai, menerapkan kurikulum pendidikan Melayu kepada setiap masyarakat Melayu.
Pendidikan Melayu di Alam Melayu
Masyarakat Melayu dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu pertama, masyarakat Melayu yang menjadi penduduk majoriti di negara mereka. Negara-negara itu terdiri dari Malaysia, Indonesia dan Brunei. Kedua, masyarakat Melayu yang jadi penduduk minoriti di negara mereka seperti masyarakat Melayu di Singapura, Filipina, Thailand, Cambodia, Vietnam, Afrika Selatan, Sri Lanka dll.

Disini tidak akan menghuraikan secara terperinci pendidikan Melayu di negara-negara yang bangsa Melayu sebagai bangsa majoriti. Kerana bangsa Melayu di negara tersebut dapat menentukan hala tuju pendidikan mereka untuk memajukan bangsa Melayu sendiri.

Negara Brunei Darussalam
Sebagai sebuah negara Melayu yang beramal konsep Melayu Islam Beraja(MIB), masyarakat Melayu Brunei dapat menikmati sistem pendidikan yang berkualiti dan menjamin kepentingan bangsa Melayu. Sejak tahun 1984 Negara Brunei Darussalam telah memperkenalkan dasar pendidikan dwibahasa bagi menjamin pelajar berkebolehan dalam menguasai kedua-dua bahasa iaitu bahasa Melayu dan bahasa Inggeris. Mulai dari peringkat pra-sekolah hingga darjah III, bahasa pengantar bagi semua mata pelajaran adalah bahasa Melayu kecuali mata pelajaran bahasa inggeris.

Daripada darjah IV dan seterusnya pelajar akan mengikuti pengajaran yang menggunakan dua bahasa. Bahasa Melayu digunakan bagi mengajar mata pelajaran Bahasa Melayu, Pengetahuan Agama Islam, Pendidikan Jasmani, Lukisan dan Pertukangan Tangan, Sivik, dan MIB (Melayu Islam Beraja). Manakala bahasa Inggeris pula digunakan bagi mengajar mata pelajaran seperti Sains, Matematik, Geografi, Sejarah, dan Bahasa Inggeris itu sendiri. Sehingga sekarang kadar kenal huruf di Negara Brunei Darussalam berada pada tahap 92.7%.

Sebagai sebuah negara yang kaya, Negara Brunei Darussalam telah menawar beberapa biasiswa kepada pelajar dari luar negara. YM Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman telah memberitahu penulis bahawa Negara Brunei memberi berapa biasiswa kepada pelajar dari masyarakat Melayu Patani untuk melanjutkan pelajaran di negara tersebut. Ini membuktikan sebuah negara Melayu yang simpati terhadap serumpun bangsanya di mana Melayu sebagai minoriti.

Masyarakat Melayu Malaysia
Masyarakat Melayu menjadi masyarakat majoriti di Malaysia. Walaupun penakrifan Melayu di Malaysia agaknya beza dari penakrifan ilmu antropologi. Penakrifan mengikut undang-undang Malaysia dalam pekara 160(2) Perlembagaan Malaysia, Melayu adalah:
  • Seorang yang beragama Islam
  • Bertutur bahasa Melayu
  • Mengamal adat istiadat Melayu
Dan lahir sebelum hari merdeka sama ada di Persekutuan Tanah Melayu (Malaya) atau di Singapura atau pada hari merdeka, dia bermastautin di Persekutuan atau di Singapura.

Undang-undang Malaysia telah menjamin keistimewaan orang Melayu seperti Perkara 153 Perlembagaan Malaysia Artikel 153 menjelaskan Perlembagaan Malaysia memberikan tanggungjawab kepada Yang di-Pertuan Agong menjaga kedudukan keistimewaan orang Melayu dan penduduk asal Malaysia, secara kumpulannya dirujuk sebagai Bumiputera. Artikel ini mengspesifikkan bagaimana kerajaan pusat melindungi kepentingan kumpulan-kumpulan ini dengan mendirikan kuota kemasukan ke dalam perkhidmatan awam, biasiswa dan pendidikan awam. Ia juga biasanya dianggap sebagai sebahagian daripada kontrak sosial, dan biasanya dikatakan sebagai pertahanan legal bagi ketuanan Melayu dan kepercayaan orang Melayu bahawa mereka adalah penduduk asal Malaysia.

Malaysia bukan sahaja memainkan peranan dalam pembangunan pendidikan orang Melayu di Malaysia. Beberapa universiti di Malaysia juga terbuka untuk pelajar-pelajar dari Alam Melayu. Seperti Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terdapat pelajar Melayu dari masyarakat Melayu Patani di Arab Saudi, Melayu Cham dan sebagainya. Begitu juga dengan Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Sains Malaysia. Malahan, Universiti Utara Malaysia yang terletak tidak jauh dari sempadan Malaysia-Thailand juga menjadi tarikan bagi pelajar-pelajar dari Selatan Thailnd. Ini adalah salah satu sumbangan Malaysia terhadap masyarakat Melayu di luar Malaysia.

Masyarakat Peribumi Indonesia
Di Indonesia, masyarakat Melayu sebagai masyarakat pribumi yang menjadi majoriti di negara tersebut. Sistem pendidikan di Indonesia juga telah menjamin kepentingan kaum peribumi di negara itu. Bahasa pengantar adalah bahasa Melayu yang disebut bahasa Indonesia. Nasib bangsa peribumi di Indonesia juga terjamin seperti di Malaysia.

Bagi masyarakat Melayu minoriti, khususnya masyarakat Melayu Patani. Pada peringkat awal distinasi pendidikan mereka jika ingin melanjutkan pelajaran di negara Melayu. Institusi Pengajian Tinggi di Indonesia adalah pilihan mereka. Kerana kos sara hidup dan kos pengajian di Indonesia tidak beza dari Selatan Thailand. Tetapi pada masa kini, oleh kerana sisuasi politik dan ekonomi menyebababkan masyarakat Melayu Patani lebih minat ke Malaysia daripada Indonesia. Walaupun begitu masih ramai belia Melayu Patani yang memohon biasiswa Darmasiswa yang ditawarkan Pemerintah Indonesia untuk melanjut pendidikan di Indonesia.

Disini akan menjelaskan perkembangan pendidikan di negara yang mana Melayu sebagai kaum minoriti. Masyarakat Melayu tersebut berada di Singapura, Sri Lanka, Afrika Selatan, Vietnam, Cambodia, Eropah, Selatan Filipina dan Selatan Thailand.

Masyarakat Melayu Singapura
Selepas Singapura berpisah dari Malaysia pada tahun 1965, tiada lagi keistimewaan ataupun kuota yang khusus untuk orang-orang Melayu di Negara tersebut. Maka dalam tahun 1981 masyarakat Melayu Singapura telah menubuhkan sebuah bada yang bernama “Majlis Pendidikan Anak-Anak Islam” ataupun ringkasannya MENDAKI. Dengan penubuhan badan tersebut penuntut-penuntut Melayu Islam jelas telah dapat manfaat daripada penubuhan majlis tersebut.Sebilangan daripada mereka mencapai keputusan dalam peperiksaan yang sangat baik. Bilangan yang berjaya ke institusi pengajian tinggi juga turut bertambah. Jadi, masyarakat Melayu Singapura walaupun berstatus minoriti tetapi tahap pendidkan mereka sangat berkualiti jika dibanding dengan masyarakat Melayu minoriti yang lain.

Masyarakat Melayu Sri Lanka
Masyarakat Melayu Sri Lanka juga melibat diri dalam pembangunan pendidikan. Sebuah kolej yang terkenal di kalangan masyarakat Islam dan Melayu Sri Lanka iaitu Zahira College. Kolej ini adalah kolej Islam pertama di Sri Lanka yang ditubuh pada tahun 1892 sebagai Al Madrasathul Zahira. Kolej ini telah melahirkan beberapa cendekiawan Melayu Sri Lanka. Salah seorang mantan pengetua kolej ini ialah Tuan Branudeen Jayah atau lebih dikenali dengan nama TB Jayah. Beliau adalah mantan menteri buruh di dalam kabinet Perdana Menteri pertama Sri Lanka iaitu Perdana Menteri D.S.Senanayake.

Kolej ini sekarang diterajui seorang aktivis masyarakat Melayu Sri Lanka, Saudara T.K. Azoor. Beliau adalah Presiden kepada sebuah pertubuhan Melayu yang bernama The Conference of Sri Lankan Malays (COSLAM). Masyarakat Melayu Sri Lanka adalah sebuah masyarakat yang aktif sekali dalam bidang pendidikan. Terdapat beberapa pertubuhan Melayu di Sri Lanka selain The Conference of Sri Lankan Malays (COSLAM) iaitu Sri Lanka United Malay Organisation (SLUMO) dan Sri Lanka Malay Conferation (SLAMAC). Pertubuhan-pertubuhan Melayu ini juga telah memainkan peranan penting dalam pembangunan pendidikan Melayu di negara tersebut. Dan terdapat beberapa pertubuhan Melayu Sri Lanka di luar Sri Lanka seperti Sri Lanka Malay Association of Toronto di Kanada, Sri Lanka Malay (UK) Association di Britain dan Sri Lanka Malay Australia Association di Australia. Mereka kebanyakan terdiri dari kalangan ahli professional di negara tersebut.

Masyarakat Melayu Afrika Selatan
Masyarakat Melayu Afrika Selatan ataupun dikenali dengan nama Melayu Tanjung (The Cape Malay) adalah sebuah masyarakat Islam yang kebanyakan mendiami bandar Cape Town di Wilayah West Cape. Masyarakat Islam di Afrika Selatan, termasuk masyarakat Melayu adalah masyarakat yg mementingkan pendidikan. Mereka telah menubuhkan beberapa institusi pendidikan seperti Islamic College of Southern Africa (ICOSA) dan Darul Arqam Islamic Institute. Kemudian kedua-dua institusi ini telah bergabung menjadi sebuah universiti Islam dengan nama International Peace University of South Africa. Di institusi ini adalah tempat mengasah bakat belia Melayu Afrika Selatan.

Terdapat beberapa pertubuhan Melayu Afrika Selatan seperti The Cape Malay Chamber of Commerce, The South African Malay Cultural Society, Indonesia & Malaysia Seamen Club dan Forum for Malay Culture in South Africa. Disini kita tidak dapat menafikan sumbangan DMDI untuk mengembangkan bahasa Melayu di sana dengan menempatkan seorang guru bahasa Melayu di International Peace University of South Africa, Cape Town.

Masyarakat Melayu Cham Vietnam
Masyarakat Melayu Cham adalah masyarakat minoriti di Vietnam. Mereka bertaburan di Vietnam bahagian selatan. Masa kin mereka masih tiada institusi pengajian milik bangsa mereka sendiri. Dalam bidang pengajian agama, masyarakat Melayu Cham dari Vietnam dan Cambodia memilih Patani, Selatan Thailand dan Kelantan Darul Naim sebagai distinasi pengajian agama mereka.

Di bidang akademi, seorang kawan penulis, Saudara Phu Van Han atau nama Melayu Chamnya Ja (Raja) Samad Han telah menubuh sebuah badan akademi dengan nama “Champa-Melayu Center for Southeast Asian Studies” terletak di National Center for Social and Human Sciences, Institute of Social Sciences, HochiMinh City, Vietnam. Beliau juga menyumbang tenaga untuk pembangunan pendidikan di kalangan masyarakat Cham di Vietnam.

Masyarakat Melayu Cham Cambodia
Masyarakat Melayu Cham di Cambodia juga adalah masyarakat minoriti di negara itu seperti masyarakat Cham di Vietnam. Mereka bertaburan di beberapa wilayah seperti di Wilayah Kampong Cham, Wilayah Kampong Chhnang dan di utara ibu kota Phnom Penh. Walaupun sekarang masih tiada sebuah institusi pengajian tinggi Islam di Cambodia. Tetapi di masa akn datang, sebuah kolej Islam yang bernama Selangor International Islamic College (KUIS) akan membuka cawangan kampusnya di Cambodia. Cawangan kampus ini akan dinamakan Cambodia Islamic College. Ini adalah salah satu untuk mengembangkan pendidikan Melayu Malaysia di Cambodia.

Masyarakat Melayu Selatan Filipina
Masyarakat Melayu Filipina yang dikenali dengan nama Bangsa Moro. Sebuah nama yang menggantikan 13 suku bangsa Muslim di selatan Filipina iaitu suku Maguindanao, Maranao, Tausug, Samal, Bajau, Banguingui, Sangil, Illanun, Yakan, Kalagan dll. Jika dibanding dengan masyarakat Melayu Patani di Selatan Thailand, masyarakat Bangsa Moro agaknya lebih bernasib baik di segi politik. Kerana mereka telah dibenarkan oleh kerajaan Filipina untuk menubuhkan sistem pentadbiran tersendiri yang dinamakan “Autonomous Region in Muslim Mindanao”.

Walaupun mereka dapat meneruskan pembangunan di bidang pendidikan tersendiri. Tetapi mereka belum lagi dapat menubuhkan institusi pendidikan tinggi bertaraf universiti milik bangsa mereka sendiri.

Yang terdapat hanya beberapa jabatan pengajian Islam ataupun Islam Studies Center di universiti kerajaan seperti di Instutute of Islamic Studies di University of the Philippines dan sebagainya. Bagi institusi swasta di peringkat kolej terdapat beberapa kolej milik Bangsa Moro seperti:
  • Philippine Islamic College di Bandar Zamboanga yang menawarkan pengajian di peringkat sarjana muda dalam bidang pendidikan, perniagaan, computer dan lain lain lagi.
  • Mindanao Islamic College terletak di Marawi City menawar pendidikan di peringkat Sarjana Muda dalam bidang pendidikan dan perniagaan.
  • Muslim Teachers' College di Marawi City mengadakan pengajian dalam bidang pendidikan.
Jamiatu Muslim Mindanao di Marawi city yang menawar pengajian hingga ke peringkat Sarjana dalam bidang pendidikan dan pentadbiran. Terdapat lagi beberapa institusi swasta milik Bangsa Moro seperti Kamilol Islam Colleges di Marawi City, The Philippine Muslim College di Jolo dan Jamiatul Philippine Al-Islamia di Marawi City.

Di Mindanao State University, Marawi City terdapat sebuah bangunan yang dinamakan “Pahang Center for Malay Studies”. Ini terbukti bahawa Malaysia khusnya negeri Pahang telah menyumbang dana untuk pembangunan pendidikan masyarakat Bangsa Moro di Selatan Filipina.

Masyarakat Melayu Filipina sangat memerlu institusi pendidikan bertaraf universiti. Beberapa pemimpin masyarakat mencadangkan penubuhan universiti Islam di Mindanao, Selatan Filipina. Cadangan tersebut dating dari Saudari Faysah Dumarpa, seorang ahli The Lower House of The Philippines mencadangkan penubuhan sebuah universiti Islam supaya dapat menampung pendidikan masyarakat Bangsa Moro. Begitu juga dengan Dr. Hamid Barra, vice president of Ulama Conference of the Philippines yang juga Dekan di King Faizal Center for Islamic, Arabic and Asian Studies, Mindanao State University, Philippines dan Professor Moner M. Bajunaid, secretary-general of the National Ulama Conference of the Philippines. Mereka mencadangan penubuhan sebuah universiti Islam di Mindanao.

Masyarakat Melayu di Arab Saudi
Masyarakat Melayu di Arab Saudi terdiri dari beberapa suku Melayu baik dari Indonesia, Malaysia dan Patani, Selatan Thailand. Mereka kebanyakan bermukimin di Kota suci Mekah. Masyarakat Melayu Arab Saudi terbahagi kepada 2 bahagian iaitu pertama, Melayu berwarganegara Arab Saudi dan kedua, Melayu bermastautin yang masih memegang warganegara negara asal mereka atau ibu bapa mereka. Masyarakat Melayu Arab Saudi ini juga melibatkan diri dalam pembangunan pendidikan. Selain dari ulama-ulama dari Alam Melayu yang bertapak di Arab Saudi di abad 19 seperti Sheikh Daud Al-Fatani, Sheikh Ahmad bin Mohd Zin Al-Fatani dan sebagainya.Terdapat beberapa nama besar ahli akademi Melayu Arab Saudi di abad 21 ini. Disini akan ketengahkan Melayu Arab Saudi yang berasal dari keturunan Melayu Patani seperti Sheikh Abdullah Al-Fatani, mantan Timbalan Menteri Pendidikan Arab Saudi; Tan Sri Sheikh Hussein Al-Fatani, mantan Duta Besar Arab Saudi di Malaysia; Dr. Jamal Al-Fatani, mantan dekan fakulti perubatan Universiti Riyadh; Dr. Hameedah Al-Fatani, mantan pengarah Girls’ College, University of Ummu Qura, Kota Mekah;

Masyarakat Melayu di Europah
Di negara barat juga terdapat masyarakat Melayu. Baik masyarakat Melayu asal Malaysia di United Kingdom, masyarakat Melayu Jawa asal Indonesia di Belanda dan masyarakat Melayu Patani di Sweden. Di University of Lund, Sweden terdapat seorang pakar asia tenggara yang berasal dari Patani, Selatan Thailand. Begitu juga dengan seorang kawan penulis di Swedwn yang sedang menyiapkan kamus bahasa Swedish-Melayu yang pertama.

Selain itu, Dato’ Yunus Rais yang berasal dari Malaysia menceburi bidang pendidikan di Britain. Beliau telah menubuhkan sebuah kolej swasta dinamakan Sels College dan menghasilan ribuan lulusan dari kolej itu. Kolej tersebut merupakan salah sebuah institusi pendidikan untuk para penuntut serta pelajar bukan inggeris mempelajari bahasa inggeris sebagai bahasa kedua.

Masyarakat Melayu Selatan Thailand
Bagi Selatan Thailand, kerena saya dari masyarakat Melayu di Selatan Thailand. Dengan itu saya akan menjelaskan secara panjang tentang perkembangan pendidikan di Selatan Thailand. Selatan Thailand dibahagikan kepada 2 bahagian iaitu pertama, Patani, sebuah karajaan Melayu lama yang kini terbahagi kepada 3 wilayah (Wilayah Pattani, Wilayah Yala dan Wilayah Narathiwas). Kedua, Wilayah Setul, sebuah bekas tanah jajahan negeri Kedah Darul Aman. Setelah kedua-kedua bahagian ini diterap ke dalam pemerintahan Siam. Kerajaan Siam telah menjalankan dasar Siamisasi terhadap masyarakat Melayu di wilayah-wilayah tersebut. Dasar ini diteruskan supaya masyarakat Melayu menerima kebudayaan dan pendidikan ala Siam. Dengan dasar inilah menyebabkan masyarakat Melayu di Selatan Thailand tergugat. Untuk mempertahankan jadidiri Melayu, beberapa projek telah dijalankan.

Dasar Siamisasi yang telah dijalankan oleh kerajaan Thailand dapat memberi kesan kepada penduduk Melayu sehingga segolongan penduduk Melayu khususnya di wilayah Narathiwas lebih menggalakkan anak-anak mereka belajar di negeri Kelantan yang lebih terjamin masa depan mereka serta dapat mempertahankan jatidiri Melayu mereka. Penghantaran anak-anak tersebut telah menimbulkan tandatanya bagi pihak kerajaan Thailand mengenai keselamatan negera. Pihak kerajaan Thailand telah membuat bancian ke atas pelajar-pelajar Melayu di wilayah Narathiwas yang sedang belajar di negeri Kelantan. Contohnya pada tahun 1983 terdapat seramai 888 orang pelajar. Kemungkinan jumlah ini telah bertambah dalam tahun 2010.

Terdapat beberapa projek yang telah dijalankan oleh kelompok cendekiawan Melayu Patani untuk mempertahankan jatidiri Melayu di Selatan Thailand. Walaupun begitu usaha ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan dasar Siamisasi yang sedang dijalankan oleh kerajaan Thailand. Projek yang telah diusahakan oleh kelompok cendekiawan Melayu tersebut adalah seperti berikut:

Pertama, projek tenaga pengajar bahasa Melayu di Prince of Songkhla University, Kampus Pattani. Projek ini dijalankan oleh universiti tersebut melalui MOU dengan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia. Begitu juga dengan Yala Islamic University telah mengadakan MOU dalam bidang bahasa Melayu dengan Universiti Brunei Darussalam(UBD).

Kedua, projek pakej bantuan pendidikan, kemahiran dan pengurusan masjid. Projek ini dijalankan oleh Majlis agama Islam di wilayah - wilayah Melayu dengan kerjasama dari sebuah badan NGO di bawah naungan Dato’ Paduka Dr. Abdul Hamid Othman. Projek ini telah dijalankan dengan mengambil pelajar-pelajar Melayu dari wilayah – wilayah Melayu untuk belajar ilmu kemahiran di Giat Mara dan Institut Kemahiran Mara di Malaysia.

Usaha ini bukan sahaja pelajar-pelajar tersebut dapat mempelajari ilmu kemahiran di Malaysia, tetapi mereka dapat membawa bahasa Melayu standard dan minda keMelayuan pulang ke tempat masing-masing. Satu lagi yang telah dijalankan oleh projek ini ialah mengadakan kursus bahasa Melayu di Majlis agama Islam di wilayah-wilayah melayu. Pengkaji telah memantau dan cuba mengikuti kursus tersebut, didapati peserta-peserta yang terdiri dari guru-guru TADIKA dan sekolah – sekolah agama masih mempunyai tahap penguasaan bahasa Melayu standard di tahap amat rendah. Mengikut seorang tenaga pengajar yang datang dari negeri Kelantan, kursus tersebut adalah pakej ketiga. Pada pakej pertama dan kedua beliau telah membuat penilaian bahawa pakej-pakej tersebut tidak berjaya.

Terdapat beberapa kegiatan kebudayaan Melayu yang telah dijalankan oleh beberapa badan. Selain dari Prince of Songkhla University, Kampus Pattani yang kerjasama dengan GAPENA (Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia ) dan Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia mengadakan beberapa seminar kesusasteraan Melayu termasuk program " Malam Puisi Melayu " yang diadakan di Kampus Universiti tersebut. Salah satu lagi badan yang memainkan peranan menegakkan jadidiri Melayu ialah Badan penyelarasan dan penerapan bahasa Melayu yang mengadakan " Malam Kesusasteraan Melayu ". Kegiatan Badan ini berlainan dari Jabatan Melayu di Prince of Songkhla University, kampus Pattani, mereka mengadakannya dengan bergilir-giliran tempat contohnya Malam Kesusasteraan Melayu ke III diadakan di Daerah Bachok, Wilayah Narathiwas sebelum itu mereka mengadakannya di Daerah Muang, Wilayah Pattani dan Daerah Reman, Wilayah Yala.

Sistem pendidikan Pondok di Selatan Thailand
Pondok adalah institusi pendidikan pertama di Patani. Usaha asimilasi dan integrasi kerajaan menyebabkan kebanyakan institusi pondok memasukkan sistem sekolah dan pendidikan kebangsaan. Kini institusi pondok di wilayah-wilayah Melayu di Selatan Thailand dapat dibahagikan kepada dua iaitu institusi pondok tradisional dan institusi pondok yang juga menyediakan sistem sekolah. Bahagian pendidikan pondok bagi kedua-dua ini memiliki bentuk, fungsi dan tujuan yang sama. Institusi pondok tradisional disediakan bagi mereka yang ingin mempelajari secara tradisi, sementara pendidikan pondok di sekolah agama merupakan magnet utama yang menarik perhatian ibu bapa untuk menghantar anaknya belajar di institusi-institusi tersebut kerana mereka akan dapat mempelajari kedua-dua sistem, sama ada sistem sekolah dan sistem pondok. Ini adalah pilihan terbaik pada masa kini untuk mengekalkan kelangsungan sistem pondok dan identiti Melayu Patani.

Untuk institusi pendidikan agama lain yang tidak menyediakan pendidikan pondok juga mempunyai hubungan erat dengan institusi pondok, sama ada melalui tenaga guru dari institusi pondok atau pernah belajar di pondok, kitab Jawi, penginapan di pondok, aktiviti pendidikan dengan menghantarkan pelajar kelas 10 untuk berlatih mengajar di sekolah agama yang wujud sistem pondok dan lain-lain aktiviti perinteraksian antara institusi pondok dan institusi pendidikan lain. Dengan melalui aktiviti pendidikan di pondok dan di institusi-institusi pendidikan agama lain yang wujud di Patani di samping lain-lain faktor seperti ulama Patani, kitab Jawi, percetakan, toko kitab, masjid, khutbah Jumaat, ceramah agama, adat-adat dan pakaian Melayu adalah peranan pondok di wilayah-wilayah Melayu di Selatan Thailand dalam mempertahankan identiti Melayu Patani.

Penubuhan institusi pendidikan Melayu Patani
Terdapat beberapa institusi pendidikan yang telah ditubuhkan oleh pendidik-pendidik Melayu. Institusi-institusi tersebut menjalankan kegiatan pendidikan mengikut kurikulum kerajaan Thailand dan di tidak mengikut kurikulum kerajaan Thailand. Institut-institut tersebut adalah seperti berikut:

1. Institut pendidikan Islam atau dikenali dengan nama ringkasnya IPI
Kerajaan Thailand mengeluarkan arahan supaya pondok-pondok pendidikan Islam di Selatan Thailand didaftarkan dengan pihak kerajaan. Ustaz Abdul Karim Hassan, Tuan guru Pondok Nahdatul Syuban di Daerah Rusu atau Jabat, Wilayah Narathiwas adalah pengasas pertubuhan pemisah yang bernama BRN(Barisan Revolusi Nasional Patani). Dalam penentangan dasar Siamisasi itu beliau memilih jalan menentang kerajaan dengan berjuang secara bawah tanah. Maka beliau menubuhkan sebuah institusi pendidikan tersebut di negeri Kelantan untuk mendidik dan melatih anak-anak Melayu Patani. Peristiwa ini berlaku sekitar tahun 1968 dengan institusi pendidikan tidak formal ini bertapak di bangunan Madrasah Al-Asriyah, Wakaf Baru, Tumpat, Kelantan. Pada peringkat awal institusi ini terletak di Langgar, Kota Bharu, Kelantan. Bagaimanapun institusi ini hanya bertahan beberapa tahun sahaja.

2. Kuliyah At-Tarbiah Wal Dakwah Al-Fatani
Institusi ini menjalankan pengajaran pada hari minggu atau hari sabtu-ahad. Dengan itu institusi Kuliyah ini lebih dikenali dengan nama Kuliyah Sore. Institusi ini ditubuhkan sekitar tahun 1977 oleh Sdr. Ahmad Samuddin, yang berkelulusan dari Indonesia. Kuliyah Sore dianggap sebagai institusi tidak formal, kerana menumpang bangunan di sebuah sekolah agama yang terletak di Cerang Batu di pinggir Bandar Pattani. Mengikut bekas pelajarnya, setelah pelajar-pelajar tamat dari Kuliyah ini, mereka boleh menyambung pelajaran di beberapa Universiti swasta di Indonesia yang telah membuat perjanjian persefahaman dengan kuliyah tersebut. Pada awal tahun 1980-an kegiatan Kuliyah ini terhenti setelah Sdr. Ahmad Samuddin ditembak mati oleh pihak tertentu.

3. Institut Sheikh Daud Bin Abdullah Al-Fatani
Institusi ini dianggap sebagai bahagian pendidikan tinggi bagi sekolah agama yang bernama Maahad Al-Bitsa' yang terletak di Bandar Yala. Institusi ini mempunyai kurikulum tersendiri seperti juga dengan Kuliyah Sore, iaitu mereka telah membuat perjanjian persefahaman dengan 3 buah Universiti swasta di Indonesia pelajar-pelajarnya dapat menyambung pelajaran di Universiti tersebut Sekarang Institusi ini masih menjalankan kegiatannya.

4. Universiti Islam Yala (Yala Islamic University)
Dalam tahun 1963, sekelompok pendidik-pendidik Melayu Patani melahirkan pemikiran untuk menubuhkah sebuah Kolej Islam swasta dengan terbentuknya "Jawatankuasa penaja projek Kolej Islam swasta Selatan Thailand ". Kemudian dalam tahun 1985 Jawatankuasa penaja tersebut telah membuat permohonan kepada kerajaan untuk menubuhkan Kolej swasta. Dalam tahun tersebut juga sebuah yayasan yang bernama " Yayasan Islam Wilayah Yala " telah meminta bantuan dari pihak Islamic Development Bank (IDB ) untuk menubuhkan sebuah Kolej Islam. Kemudian dalam tahun 1986 pihak IDB telah meluluskan bantuan untuk penubuhan Kolej Islam tersebut . Maka dalam tahun 1987 Yayasan Islam Wilayah Yala telah bergabung menjadi satu dengan Jawatankuasa penaja projek Kolej Islam swasta Selatan Thailand.

Pembinaan Kolej Islam tersebut telah siap pada tahun 1989. Kemudian kegiatan Kolej ini terhenti beberapa lama kerana kekurangan peruntukan untuk menjalankan kegiatannya. Kolej Islam ini telah diambilalih oleh sebuah yayasan yang bernama "Yayasan pendidikan tinggi Islam Selatan Thailand " pada 1995. Kolej ini telah menjalankan pengajarannya beberapa tahun sebelum mendapat kebenaran secara rasmi dari pihak kementerian pendidikan tinggi Thailand pada tahun 1998.

Kolej ini mempunyai kurikulum tersendiri dengan terdapat 2 fakulti iaitu Fakulti Usuluddin dan Fakulti Shariah. Sesuai dengan penubuhan dan pengurusan Kolej yang diuruskan oleh mereka yang berkelulusan dari negara-negara timur tengah. Kemudian kolej ini telah dinaiktaraf kepada sebuah universiti. Bagaimanapun universiti boleh dianggap sebagai universiti Islam tunggal yang mendapat kebenaran dan pengiktirafan kurikulumnya dari pihak kerajaan Thailand.

5. Maahad Darul Maarif
Institut ini diataskan oleh Haji Mohd. Sulong Tok Mina, seorang ulama Melayu Patani. Institut ini juga dianggap institut pengajian tinggi di peringkat “Al-Aliyah”. Bangunannya terletak di dalam kawasan pejabat Majlis agama Islam Wilayah Patani.
Pada tahun 1999, seorang lulusan dari Universitas Nasional Indonesia yang berasal dari Wilayah Narathiwas telah mencetuskan satu cadangan iaitu mewujudkan pengajian Jarak Jauh dari Universitas Nasional( UNAS ), Jakarta. Cadangan tersebut mendapat sokongan dan persetujuan dari beberapa cendekiawan dan tuan guru di Wilayah Narathiwas. Kemudian pencetus cadangan tersebut telah meninggal dunia secara mengejut sehingga cadangan tersebut terkubur begitu sahaja.

Dalam bidang pendidikan Islam ini, pihak kerajaan Thailand telah berusaha menarik minat penduduk Melayu dari menghantar anak-anak mereka melanjut pelajaran di timur tengah dengan menubuhkan sebuah Kolej yang bernama " Kolej Pengajian Islam " atau " College of Islamic Studies ". Kolej ini dinaikkan taraf dari Jabatan pengajian Islam di bawah Fakulti Sains sosial dan kemanusiaan menjadi sebuah kolej atau setaraf fakulti di Prince of Songkhla University, Kampus Pattani.

Prince of Songkhla University, Kampus Pattani juga telah lama mewujudkan 2 jurusan yang berkaitan dengan pengajian Melayu iaitu Jurusan Bahasa Melayu yang khusus kepada pengajian bahasa Melayu dan Jurusan Pengajian Melayu yang khusus kepada pengajian sosio-budaya Melayu.

Di Kota Bangkok terdapat sebuah institusi pengajian tinggi swasta yang bertaraf universiti. Institusi ini dinamakan Kasem Bundit University. Pemilik universiti ini adalahlah seorang Melayu yang bernama Dr. Wanlop Suwandee. Universiti ini juga menjadi tempat tarikan pelajar Melayu dari Selatan Thailand menimba ilmu pengetahuan.

Dalam tahun 2015 negara-negara anggota ASEAN akan mewujudkan ASEAN Community. Pada tahun tersebut negara-negara anggota ASEAN akan disatukan dan bebas bergerak di mana mana Negara anggotanya. Bagi sesetengah cendikiawan Melayu Patani sedang menyiapkan untuk menjadi orang pengantaran penubuhan cawangan mana mana universiti Malaysia di Selatan Thailand. Kerana taraf kualiti pendidikan Malaysia adalah taraf dunia. Dengan cara ini dapatlah mana mana institusi pengajian tinggi di Malaysia memainkan peranan pembangunan pendidikan masyarakat Melayu di selatan Thailand.

Kesimpulan
Masyarakat Melayu di Alam Melayu sangat berbeza dari segi politik, ekonomi dan latar belakang mengikut negara yang mereka mendiami. Terdapat masyarakat Melayu yang teguh dan masyarakat Melayu yang lemah. Masyarakat Melayu segajat tidak akan maju ke depan tanpa bantuan dan bimbingan dari masyarakat Melayu yang lebih teguh dari segi ekonomi dan pendidikan kepada masyarakat Melayu yang lebih dari segi tersebut.

Universiti-universiti di negara Melayu khususnya Malaysia perlu terbuka menjadi pusat pengajian tinggi untuk melatih dan membimbing cendikiawan-cendikiawan di Alam Melayu. Dan Malaysia juga perlu menjadi pusat pembanunan pendidikan Melayu Sejagat. Dengan Malaysia yang mempunyai kualiti pendidikan bertaraf dunia dapatlah membantu dan merialisasikan pendidikan sejagat.

Dan DMDI sebagai sebuah badan untuk penyatuan masyarakat Melayu sejagat perlu menjadi “orang tengah” ataupun “badan payung” supaya dapat memajukan pendidikan Melayu sejagat ini.

Wassalam.
Nik Abdul Rakib Bin Nik Hassan
Malay Studies Section
Prince of Songkla University, Pattani.
Email: nikrakib@gmail.com
Sila download salinan dokumen ini di sini.


Rujukan:
Committee Meeting Report on UNESCO’s The Malay Culture Study Project, Kuala Lumpur, 1972.
Hamzah Mohd Kassim, Dato’ Haji.kertas kerja bertajuk “Terbang Tinggi di Laut Biru:Cabaran Dan Kejayaan Masyarakat Melayu Sejagat” Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu ke 2, 2-7 Oktober 2002 di Beijing, China.
Hasan Madmarn (1990). Traditional Muslim Institutions in Sounthern Thailand: A
Critical Study of Islamic Education and Arabic Influence in the Pondok and Madrasah Systems of Pattani. Ph.D. Thesis., University of Utah.
Mohamad Bin Muda, Ketua Penolong Pengarah, Bahagian Pendidikan Guru, Kementerian Pendidikan Malaysia. Teks ucapan tajuk “Cabaran dan harapan dalam pendidiakn menghadapi alaf baru”.tanpa tarikh
Nik Abdul Rakib Nik Hassan (2003). Siamisasi Masyarakat Melayu di Selatan Thailand : Satu Kajian Kes di Kampung Duku, Daerah Bachok, Wilayah Narathiwas. Tesis M.A. Universiti Malaya, Kuala Lumpur.
Worawit Baru @ Ahmad Idris “Pendidikan Pondok di Negara Thailand : Satu Sistem
Pendidikan ke Arah Keseimbangan Insan,” Kertas kerja perbentangan Persidangan Antara bangsa Bahasa, Sastera dan Budaya Melayu. York Hotel, Nanyang, Singapura, 17-18 Julai 1998.
Zawawi Pakda Amin.(2004) Tesis M.A. Akademi Pengajian Melayu, Universiti Malaya, Kuala Lumpur.



0 comments:

Post a Comment



Jika anda memiliki akun di facebook, silahkan klik tombol FOLLOW THIS NETWORK di atas, atau klik di sini. Jika diminta, loginlah seperti biasa. Lalu klik tombol FOLLOW. Tunggu beberapa saat sampai notifikasi kofirmasi muncul, saat mana anda dapat segera logout. Satu klik dari anda sangat berarti bagi blog ini. Atas semua sumbangsih yang telah diberikan, tidak lupa kami ucapkan terima kasih yang sebesarnya



KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT DAFTAR SELURUH ARSIP