Wednesday, September 30, 2009

Saudaraku, Rakyat Malaysia Dan Indonesia

Saya telah melawati beberapa page yang di buat oleh saudara-saudaraku dari Indonesia dan Malaysia berkenaan dengan isu panas rakyat kedua-dua negara. Melihat kepada perang mulut antara segelintir rakyat Malaysia dan Indonesia berkaitan dengan isu budaya amatlah menyedihkan saya.

Sehinggakan saya terangsang untuk menulis sedikit pendapat saya yang sederhana ini. Walaupun saya sedar saya tidak akan dapat mengubah pemikiran orang, sekurang-kurangnya saya menyatakan hak saya untuk memberi pendapat seperti juga saudara-saudaraku semua.

Sesungguhnya kita semua telah dikuasai oleh pemikiran yang amat jauh tertinggal dan amat rendah resionalnya sehinggakan berlaku tuduh menuduh dan hina menghina dengan nada ayat yang kasar, tidak bermoral dan jelek sekali bila dibaca.

Seharusnya kita mendahulukan ilmu dan pengetahuan sebelum berani mengetik papan kekunci komputer kita untuk membuat komen-komen yang merendahkan martabat pemikiran kita di mata kaum lain.

Kita sebenarnya sedang didominasi oleh pihak lain yang mendalangi perang dingin ini demi satu matlamat yang amat panjang untuk melihat pertelingkahan dua negara yang akhirnya akan merosakkan ketamadunan kita yang berakar umbi dari leluhur yang sama.

DARI SUDUT SEJARAH

Indonesia dan Malaysia itu hanyalah produk politik dalam persaingan dominasi manusia. Sememangnya manusia sering membina sempadan dan kedaulatan hanya kerana keperluan yang asas, makan, pakaian dan tempat tinggal

Dahulunya Indonesia itu tidak wujud begitu juga Malaysia. Yang ada adalah Majapahit, Seriwijaya, Palembang, Langkasuka, Phang (Pahang) Beruas dan beberapa lagi taburan komuniti raja-raja kecil di Sumatra, Kalimantan dan Sulawesi. (Sekadar menyebut persempadanan Malaysia dan Indonesia)
Kemudiannya Raja Palembang (Parameswaram) yang kalah perang dengan Majapahit melarikan diri ke Singapura dan kemudiannya membuka kerajaan baru di pantai barat Semenanjung dan dinamakan Melaka.

Melaka pun membangun sebagai pusat perdagangan dan majapahit yang semakin merosot merupakan musuh tradisinya. Melaka telah mengambil alih pengaruh Majapahit sehingga Pantai Timur semenanjung, Sumatra dan Kepulauan Nusantara sebahagiannya sehinggalah Melaka dijatuhkan oleh Partugis.

Maka bermulalah era penjajahan barat di tanah Nusantara ini silih berganti dengan Belanda, kemudiannya British dan Jepun sebelum bermula era Indonesia dan Malaysia kemudiannya.

Indonesia itu terbina daripada penyatuan ratusan etnik yang bersetuju bersatu membentuk sebuah bangsa berdaulat.

Malaysia juga terbina dengan persefahaman pelbagai etnik dan bangsa yang membentuk negara berdaulat.

Politik telah mengaburkan sesuatu yang lahiriah tentang kita semua, tentang darah dan gen kita yang dipanggil bangsa Melayu Nusantara.

TERBINANYA NEGARA MALAYSIA DAN INDONESIA
(Hanya menyentuh tentang Bangsa Melayu)

Indonesia itu adalah bangsa yang dibena sebahagiannya oleh Bangsa Melayu dari berbagai etnik, Jawa, Minang, Bugis, Banjar, aceh, Mendeleng dan lain-lain (Sekadar menyebut beberapa etnik utama).

Malaysia itu juga dibena sebahagiannya oleh Melayu asal Semenanjung seperti Melayu Kedah, Melayu Perak, Melayu Kelantan, Melayu Pahang dan kemudiannya perpindahan etnik Jawa, Banjar, Bugis, Minang, Aceh, Mendeleng, Rawa, Kerinchi, Roa (sekadar menyebut beberapa etnik).

Orang Melayu asal Semenanjung sudah punya budayanya sendiri seperti orang Perak dan Kelantan. Secara langsung itulah budaya asal bangsa Malaysia.

Namun begitu etnik yang datang dari kepulauan seberang juga membawa budaya leluhurnya. Mereka mempraktikkan budaya itu di Malaysia dan itulah sebahagian daripada budaya Malaysia yang berbagai bangsa.

Jika orang Minang yang mengasaskan Negeri Sembilan tidak boleh mengamalkan budaya masyarakat Minang, apakah jenis budaya yang mahu diamalkannya?

Orang Jawa tidak boleh main Reyok dan Wayang Purwo hanya kerana dia sudah jadi warga Malaysia, apakah anda mahu mereka jadi orang Kelantan atau perak?

Orang Bugis tidak boleh berbangga dengan kehebatannya di laut, apakah mereka perlu menipu sejarah bahawa merekalah yang mengasaskan kesultanan Selangor?

Tuduhan bahawa Warga Malaysia maling pencuri budaya adalah kenyataan orang yang dangkal sejarah dan membabi buta. Amat malang lagi bila ide itu dimomokkan oleh para pendukung media yang sepatutnya bijak dan berakal kerana peranannya menjadi penyuap maklumat untuk khalayak.

Maka sebahagian saudaraku di Indonesia yang sedang diamuk api kemarahan sedar bahawa ide Bangsa Indonesia dan ide Bangsa Malaysia itu adalah sesuatu yang amat berbeza.

Bangsa Malaysia itu adalah muhibah pelbagai bangsa iaitu Melayu, Cina dan India serta kaum Asal di Semenanjung serta Sabah dan Sarawak.

Melayu Malaysia itu adalah terdiri daripada berbagai etnik yang sebahagian besarnya datang daripada Kepulauan Nusantara. Leluhur mereka tidak pernah kenal apa itu Indonesia dan apa itu Malaysia.

Mereka berhijrah dan mendapat hak yang sama dengan Melayu asal Semenanjung dalam Malaysia kerana mereka itu Melayu. Mereka punya rasa yang sama tentang tanah ini. Mereka mencium bau rumput dan Lumpur yang sama di tanah asal mereka.

Sehingga sekarang sebahagian daripada mereka masih punya saudara-mara di tanah asal mereka yeng telah disempadankan oleh politikus dan dinamakan Republik Indonesia.

Hari ini mereka dikecam oleh darah sebangsa mereka di Indonesia sebagai pencuri budaya sedangkan mereka mengamalkan apa yang jadi hak mereka hanya kerana politikus telah membuatkan sempadan dan menamakan tanah yang mereka miliki ini sebagai Malaysia.

Haruskah begini jadinya?
Saya tidak mahu menyentuh tentang kejahatan individu kerana perkara itu hanyalah seperti virus yang ada di mana-mana.

Perampok warga Indonesia yang merampok di Malaysia tetap akan melakukan perkara yang sama di Indonesia.

Pengganas warga Malaysia yang mengebom Indonesia tetap mahu juga mengebom Malaysia kiranya berkesempatan kerana dia juga didokong oleh sahabatnya di Indonesia yang punya ideology sama.

Tidak sedikit wanita Malaysia yang dicerai dan dianaya si suami warga Indonesia.

Sekadar menyentuh beberapa kejahatan individu, seharusnya kejahatan individu tidak dijadikan pokok perbalahan kerana kedangkalan kita. Seharusnya kita melihat kepada persoaolan yang lebih besar dan matang.

KEPADA SAUDARA-SAUDARAKU DI INDONESIA

Di Malaysia ini warga Malaysia etnik Jawa, Minang, Bugis, Banjar, Aceh, Mendeleng, Rawa, Roa, (sekadar menyebut beberapa etnik) tidak pernah mendera, menghina atau menganaya saudara seetniknya dari Indonesia asalkan saja hatinya tulus mencari rezeki di tanah Malaysia ini.

Sebahagian daripada kamilah yang membena Malaysia ini. Ada di antara kami telah menjadi menteri, usahawan, bijak pandai dan para professional.

Hari ini kami telah di hina oleh saudara sedarah sedaging kami sendiri di Indonesia sebagai pencuri budaya dan bangsa yang tidak punya budaya sedangkan kami hanya melaksanakan hak milik kami sendiri dari leluhur kami yang sama dengan leluhur anda di Indonesia.

Sedangkan bangsa Cina dan India di Malaysia tidak pernah dicemuh bangsa mereka di tanah besar Cina dan benua kecil India kerana mengamalkan budaya leluhur mereka untuk membentuk budaya Malaysia.

Jadi di manakah kami? Kenapa kami dianggap pencuri oleh adik beradik sendiri sedangkan leluhur kita tidak pernah meletakkan syarat itu?

Kami tetap Jawa, Bugis, Minang dan lain-lainnya dan kami tidak akan jadi orang Melayu Perak, Kedah maupun Kelantan. Tetapi kami adalah roh yang menghidupkan Malaysia bersama saudara kami Melayu asal Semenanjung. Kami berkongsikan pingan makan yang sama dan kami berkongsi budaya yang sama.

Kami bahu-membahu mendaulatkan pertiwi tercinta kami seperti juga saudara-saudaraku yang mendaulatkan pertiwinya Indonesia.

Apa yang milik kami adalah milik mereka dan sebaliknya sehinggakan kami sudah lupa siapa etnik dari seberang dan siapa etnik asal. Kami adalah Melayu Malaysia yang berdaulat dan tidak mencuri. Kerana kami telah membaurkan kepelbagaian budaya itu menjadi hak kami untuk kami memeliharanya bersama.

Seharusnya kita bangga bahawa bangsa Melayu itu sudah berjaya membentuk dua kedaulatan yang besar dan mahsyur.

Janganlah kerana kedangkalan fikiran kita mudah dipermainkan oleh pihak lain yang punya agenda tersembunyi.

Jangan kerana kedangkalan ini juga kita dipandang hina oleh bangsa-bangsa lain yang berkongsi tanah Nusantara ini.

KEPADA SAUDARA-SAUDARAKU RAKYAT MALAYSIA YANG BERDAULAT

Hentikanlah menyerang balas dengan kata-kata yang mengaibkan pada saudara-saudara kita di Indonesia. Kita rakyat Malaysia yang menjunjung Rukun Negara.

Yang membezakan si dangkal dan si bijak itu adalah pemikiran yang tinggi.

Salam Lebaran untuk seluruh Nusantara.

“SENI UNTUK PERSAUDARAAN’


Surat dari Adeputra Masri - Lihat komentar di sini
You might also like to read this: Selayang Pandang Masyarakat Melayu Malaysia

1 comments:

  • Assalamualaikum,saudaraku!
    Alhamdulillah jika semua MELAYU di Malaysia dan Indonesia berpendirian seperti saudara. Ternyata ramai yang sudah terTIPU dan terLUPA dengan penyelewengan budaya yang direka oleh sistem kerajaan yang dicipta manusia. Moga Allah membuka hidayahNya agar kita kekal SATU dan tidak hanyut terlalu jauh dari Kedaulatan Bangsa kita BERSAMA...
    Salam Sejahtera untuk saudara MELAYUku semua!!!

    saudara mu,
    MELAYU di TANAH MELAYU.

    February 23, 2011 at 11:29 PM

Post a Comment



Jika anda memiliki akun di facebook, silahkan klik tombol FOLLOW THIS NETWORK di atas, atau klik di sini. Jika diminta, loginlah seperti biasa. Lalu klik tombol FOLLOW. Tunggu beberapa saat sampai notifikasi kofirmasi muncul, saat mana anda dapat segera logout. Satu klik dari anda sangat berarti bagi blog ini. Atas semua sumbangsih yang telah diberikan, tidak lupa kami ucapkan terima kasih yang sebesarnya



KLIK DI SINI UNTUK MELIHAT DAFTAR SELURUH ARSIP